Psikik oleh Husna Rosli || Author Q&A

Hi there! I’m here again with a new author Q & A and this time, it’s in Bahasa Malaysia (Malay language) ! I hope Malaysian readers could take some time to get to know this local author of ours, Husna Rosli, better and get to know more about her debut novel. Also, she gave her views on the local publishing industry, you don’t want to miss that out! You may click HERE for my full review of her debut novel, Psikik.

So, let’s get into the interview!

Q: Soalan pertama, sejak bila Cik Husna mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang penulis?

A: Saya mula bercita-cita untuk menjadi penulis, pada mulanya adalah sejak saya sedar hanya dengan menulis sahaja saya dapat menyampaikan idea cerita saya. Sekitar 2012, saya telah mendapat sebuah mimpi untuk idea cerita. Saya telah mengembangkannya dalam bentuk siri cerpen dan menulisnya dalam entri blog. Semakin lama, semakin banyak idea yang saya dapat untuk mengembangkan cerita untuk jadi lebih kompleks dan detailed. Sejak dari itu, saya banyak belajar teknik penulisan melalui pembacaan buku tentang penulisan dan authortube. Ini sebagai usaha untuk memperbaiki penulisan saya dan persiapan untuk menjadi seorang penulis yang baik.

Q: Bagaimana idea untuk menghasilkan cerita Psikik ini terhasil?

A: Psikik sebenarnya adalah ‘on-the-spot’ idea. Saya dapat idea ni sebaik sahaja saya dapat tahu tentang Sayembara FIXI Feminis. Alhamdulillah, masa tu selepas baca iklan sayembara, saya terus terdetik untuk jadikan ia cerita dystopian, dan memainkan isu gender, di mana lelaki dan perempuan diletakkan dalam kelas sosial yang berbeza. Saya mula membuat rujukan daripada buku-buku popular seperti The Hunger Games dan Divergent kemudian cuba perlahan-lahan mengenali watak, ‘details’ dalam dunia yang dicipta dan cuba merangka arah cerita sendiri. Beberapa rujukan tentang isu feminism dan hubungan antara dunia kita sekarang vs dunia fiksyen juga dilakukan. Antara rujukan adalah ucapan dan buku-buku daripada Chimamanda Ngozi Adichie, tentang Flakka dan beberapa details penting juga dilakukan untuk mencipta world building yang boleh dipercayai.

Q: Berapa lamakah proses penghasilan buku Psikik, dari mula menulis sehingga pelancaran buku ini?

A: Proses menghabiskan draf pertama adalah selama 5 minggu. Proses revision menyeluruh berlaku 3 kali selepas itu, tidak termasuk revision yang kecil-kecil. Psikik dihantar untuk sayembara semasa bulan September 2016. Tiada rezeki menang tetapi ditawarkan untuk dimasukkan dalam queue penerbitan FIXI yang lama. Sekarang queue itu sudah tidak wujud kerana ambilan manuskrip baru hanyalah daripada sayembara sahaja.

Manuskrip telah di-revise dan dihantar pada bulan Februari 2017 untuk dinilai oleh barisan panel penilai. Pada bulan Julai 2017, manuskrip telah diluluskan cuma belum ada tempoh penerbitan. Pada Oktober 2018, saya telah dihubungi dan ditawarkan untuk penerbitan Psikik pada awal 2019. Manuskrip dilancarkan pada penghujung Februari 2019.

Q: Mengapa Cik Husna memilih tajuk ‘Psikik’ dan bagaimana cover buku ini dipilih?

A: Tajuk Psikik dipilih kerana elemen ‘psikik’ dalam novel ini sendiri. Saya mengambil definisi psikik itu sendiri. Kebolehan psikik ini adalah:

ESP (Extrasensory Perception /sixth sense) – ‘a power to perceive things that are not present to the senses, whereby a person perceives information, in the form of vision, abt future events before they happen, OR about things/event at remote locations)’. Saya tertarik untuk guna konsep psikik yg selepas ‘OR’ tu. Dalam buku Psikik ni, watak utama boleh berada di sesuatu tempat pada masa lalu atau sekarang, dan berada serta melihat menerusi tubuh mereka yang pernah alami peristiwa yang mempunyai memori dan ikatan emosi yang kuat.

Cover buku pula merupakan gabungan 5 gambar yang saya pilih sendiri. Setiap gambar mempunyai maksud atau simbolik tersendiri.

1. Gambar perempuan itu adalah watak utama, Elina. Ia menggambarkan Elina yang sedang berada dalam vision sendiri.

2. Bangunan itu adalah Institut Cahaya

3. Awan putih menggambarkan visi. Warna putih juga melambangkan kesucian dan kebaikan.

4. Kaca yang pecah melambangkan ‘fractured reality’.

5. Percikan darah pula melambangkan kematian, yang merupakan plot point yang memberi arah kepada hala tuju cerita. Kematian juga adalah tema utama.

Q: Apakah faktor yang membuatkan Cik Husna mengambil keputusan untuk menerbitkan buku di bawah penerbitan Fixi?

A: Saya memutuskan untuk menghantar manuskrip kepada FIXI kerana FIXI menerbitkan buku-buku yang bervariasi, dan juga daripada pelbagai latar belakang. Kontra daripada pendapat sesetengah orang yang mengatakan FIXI banyak menerbitkan buku yang mempunyai isu 18SX, saya melihat, penerbitan FIXI sudah lebih terbuka. Sudah ada beberapa buku yang tidak mempunyai elemen itu tetapi tetap juga diterbitkan. Sebab itu ia juga satu-satunya rumah penerbitan yang saya rasa berpotensi untuk terima.

Q: Apa pendapat Cik Husna mengenai industri penerbitan buku di Malaysia?

A: Pada pendapat saya, industri buku Malaysia sedang mengalami perubahan. Kita memang ‘stagnant’ dari segi  keuntungan industri buku dalam Malaysia tapi orang-orang dalam penerbitan Malaysia semakin berani mengambil langkah baru. Buktinya, jika dulu seawal 2013, sangat susah manuskrip selain daripada cinta, seram dan agama dapat diterbitkan. Tapi sekarang sudah ramai penerbit mahu mengambil risiko dan mendengar kata pembaca. Ramai penerbit semakin terbuka untuk terbitkan buku dalam genre variasi seperti fantasi, thriller, sci-fi, aksi, dan lain-lain.

Q: Jika pembaca sudah membaca Psikik, buku ini sememangnya memenuhi kriteria genre dystopian. Persoalannya, kenapa Cik Husna memilih genre dystopian untuk buku sulung anda?

A: Secara jujurnya, saya hanya mengikut naluri saya sahaja. Ketika saya baru mengetahui tentang Sayembara FIXI Feminis, terus terlintas dalam fikiran tentang dunia dalam novel ini serta arah dan mesej yang hendak disampaikan. Lama kelamaan, idea ini semakin berkembang sehingga ke ‘backstories’, sejarah serta psikologi setiap watak. Begitulah juga bagaimana saya mendapat idea untuk sesebuah novel – Saya melihat pengakhiran terlebih dahulu, kemudian barulah saya isi ‘puzzle’ berkenaan apa yang akan berlaku yang menghala kepada penamat begitu dan transformasi watak yang sebegitu di penamat.

Untuk Psikik, saya tidak rasa saya memilih genrenya terlebih dahulu. Sebaliknya, saya melihat arah cerita itu, mengikut naluri sendiri tentang bagaimana cerita itu patut ditulis, apa yang mesti diceritakan dan apa yang perlu disimpan untuk pembaca berfikir, dah sebagainya. Yang pasti, penulisan saya memang cenderung ke arah Young Adult.

Ketika awal pembikinan Psikik, saya sudah dapat mengagak penerimaan Psikik kerana:-

1. Watak gadis memonopoli cerita (jadi pembaca perempuan lebih rasa kuat ikatan emosinya daripada lelaki. Pembaca yang akan betul-betul merasai emosi dan mesej yang akan disampaikan pula pasti majoritinya daripada kalangan remaja yang selalu mempunyai konflik diri).

2. Target pembaca untuk fantasi dystopia sememangnya kecil tetapi pengikut genre ini amat setia.

3. Cover, warna serta tema cerita ini yang hanya menarik minat golongan pembaca tertentu dan spesifik, dan kecil sahaja. Bagaimanapun, saya tekad untuk cuba juga memuaskan golongan yang kecil ini dan buktikan bahawa Psikik memang berbaloi dibaca.

Dengan sebab-sebab ini, saya berharap karya pertama saya akan beroleh kepercayaan dan membuktikan bahawa, karya debut juga boleh memberi impak kepada pembaca. Untuk Psikik, saya mementingkan kualiti daripada kuantiti dahulu. Saya akui, ia memang langkah yang berisiko. Untuk novel seterusnya baru saya akan memperkenalkan elemen-elemen yang diharapkan memenuhi citarasa target pembaca yang lebih pelbagai.

Q: Terdapat beberapa tema dan pengajaran, terutamanya dari sudut Islamik yang saya dapat teliti setelah membaca Psikik. Apakah mesej utama yang hendak Cik Husna hendak sampaikan kepada pembaca Psikik?

A: Tema dan mesej pertama yang sering terlintas dalam fikiran saya sepanjang proses pembikinan adalah tentang kematian dan kehilangan. Tentang bagaimana kematian itu boleh mengubah perjalanan hidup seseorang, keputusan dan juga masyarakat.

Sesuai dengan tema feminis, saya juga mahu memberi mesej tentang isu gender. Bahawa setiap kesalahan itu bukanlah disalahkan atas nama gender, tetapi atas keputusan setiap individu itu sendiri. Saya juga mahu meneroka tentang isu di mana kita meletakkan pergantungan kita dalam hidup. Saya mahu jujur dan mahu pembaca meneroka ruang gelap dan emosi sedih serta berbicara tentang konsep berharap. Itu mesej yang sering bermain dalam fikiran saya, namun saya percaya, ada beberapa lagi mesej di sebalik lapisan cerita dan pemain dalam cerita Psikik.

Q: Akhir sekali, apakah perancangan Cik Husna dalam bidang penulisan pada masa akan datang?

A: InsyaAllah, saya merancang untuk fokus kepada kategori ‘Young Adult’ dan genre urban fantasi, thriller, misteri, aksi dan supernatural. Saya sedang merancang untuk menerbitkan satu siri novel dan telah merangka perjalanan cerita, lapisan cerita serta watak-watak sejak 2012. Ini adalah idea pertama saya dan ia lebih meneroka banyak isu tentang konflik diri, ‘good vs evil’ dan banyak lagi. Ia juga bersifat lebih peribadi, lebih ‘raw’ dan lebih jujur.

Saya berharap satu hari nanti, saya akan dapat menyampaikan keseluruhan cerita ini kepada pembaca. Semoga dipermudahkan!

Baiklah, itu sahaja sesi temu bual untuk kali ini. Jika ada penulis yang berminat untuk ditemu bual, bolehlah emel saya di jessicatay27@gmail.com untuk butiran lebih lanjut.

That’s all for now, if you’re an author and interested to be interviewed, you may email me at jessicatay27@gmail.com for more details!

p/s: Husna Rosli is currently working on 2 more novels, one is a YA novel about BTS fandom and another one is YA Fantasy and both are in Malay language, you might want to check it out! (Note: This is posted on February 16th, 2020 and might not be relevant on future dates)

About the author

Penulis Husna Rosli merupakan seorang story lover. Dia gemar berkongsi
minatnya terhadap buku dan cerita melalui reviewnya di media sosial. Dia juga dikenali sebagai seorang ‘Booktuber’ (YouTuber yang berbicara tentang buku) di channel YouTube ‘Husna Reads’. Setakat ini dia telah berjaya menghasilkan dua buah buku iaitu ‘Psikik’ yang diterbitkan oleh penerbit FIXI pada tahun 2019, dan ‘K-POP Girl: Army Yang Bertuah’, diterbitkan oleh penerbit buku PTS untuk tahun 2020.


Sebagai pembaca, dia menggemari buku bergenre urban fantasy, thriller, misteri dan paranormal. Penulisannya juga banyak mempunyai pengaruh genre berkenaan. Selain membaca, dia juga sukakan segalanya yang bersifat seni terutamanya yang boleh dianalisa seperti muzik, lirik dan filem. Husna juga boleh dikenali di media sosial dengan nama yang sama: Husna Reads, atau boleh juga dikenali melalui laman web di www.husnareads.bookmark.com. Husna mempunyai harapan yang besar untuk kariernya. Dia berharap imaginasinya serta cerita yang selama ini disimpan dapat disampaikan kepada pembaca. Sekarang, dia sedang cuba menghasilkan lebih banyak cerita ‘Young Adult’ dalam genre fantasi urban, thriller, seram dan paranormal. Dia berharap cerita-ceritanya mampu memeriahkan dunia buku Malaysia kelak.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s